Rosliza Ismail
August 15th, 2007 by hiehieJumaat ini, genap 1 bulan dan seminggu Za meninggalkan kita. Sehingga ke hari ini, aku tak rasa yang dia sudah tiada. Bermacam-macam perasaan yang berbaur dalam diri ini. Rasa sedih, terkilan, kecewa, gembira, dan sebagainya.
Aku tak pernah tau pun yang dia ada tumor otak. Selama ini pun, kalau dia sakit kepala, dia akan terus tidur. Bila dia bangun, terus segar. Dia hanya makan ubat. Dia kata dia penat saja. Aku pun tak fikir apa-apa. Itulah yang dia buat sepanjang aku sebilik dengan dia semester lepas. Yang aku terkilan, aku tak sentiasa bersama dia. Aku selalu balik rumah. Aku cuma harapkan kawan-kawan bilik sebelah akan jaga dia. Tapi, betapa bodohnya aku kerana terlalu mengharapkan mereka…
Aku terkejut, bila dapat tau dia dimasukkan ke hospital kerana pengsan di asrama. Allah saja yang tau betapa sedihnya aku. Dan yang pasti, jantung aku luruh bila dapat tau dia ada penyakit ini. Ya Allah, kenapa Engkau turunkan dugaan yang begitu besar pada Za? Dia masih ada anak kecil..
Pada hari Za dan Zaki hendak pulang ke Kelantan, aku dan 2 orang kawan bergegas ke airport. Sepanjang perjalanan, ingatan aku tak lepas-lepas tentang Za. Biarlah aku sempat berjumpa dia, sebab.. aku boleh rasa yang aku tak akan berjumpa dengan dia untuk tempoh yang lama..
Air mata tak dapat ditahan lagi. Sebaik aku lihat Za dibawa keluar dari ambulans, aku terus menangis. Sedih melihatkan keadaan dia begitu tidak bermaya. Dan air mata ini terus berguguran bila dia genggam tangan aku. Aku yakin, pada masa itu, dia masih mengenali aku.
Selama beberapa hari aku menunggu berita tentang Za, aku selalu berkata pada diri aku sendiri yang dia akan selamat. Za kuat, dia aktif. Dia tak pernah ponteng kelas. Dia libatkan diri dalam semua aktiviti luar dan dalam maktab. Kami selalu bercerita tentang keluarga dan kawan-kawan. Za pernah kata, lepas ni, dia berharap dia dihantar ke Labuan dan mengajar di sana. Tentang kawan-kawan, dia masih ingat dengan rakan-rakan seperjuangannya di UNIMAS. Cuma.. dia sedikit terkilan kerana dia terlewat atau tidak tahu perkembangan mereka. Dia kecewa bila tiba-tiba dapat tahu ada yang sudah bertunang, ada yang sudah melahirkan, ada yang sudah dapat kerja, dan lain-lain. Mungkin aku tak seperti dia, tapi.. aku tahu yang Za amat sayangkan kawan-kawannya.
Topik hangat kami berdua sudah semestinya tentang anak. Dia selalu kata nama anak kami hampir serupa. Dan aku selalu kata yang kami boleh kahwinkan mereka berdua. Za selalu tunjuk gambar Iffah. Sehinggakan dia bawa sekali baju anaknya tidur bersama. Dan.. beberapa hari sebelum dia pengsan, dia duduk di meja aku dan menatap gambar anaknya. Mungkin, dia tahu…
Pada malam pemergiannya, aku masih cuba sedapkan hati dengan mengatakan bahawa dia akan selamat. Tapi jauh di sudut hati, aku boleh rasa yang dia tak akan kembali.. Sepanjang malam aku menangis bila mendengar berita kematiannya. Aku tak boleh terima hakikat yang Za dah tak ada. Sehingga ke hari ini..
Aku tau, salah kalau kita tak boleh terima kenyataan yang dia telah pergi. Tapi, terus terang aku katakan, pada waktu ini, pasti Za sedang membuat assignment dalam bilik atau bercakap dengan anaknya. Dan pada hari aku balik ke asrama untuk mengemas barang-barangnya, ‘bau’ Za menerawang dalam seluruh bilik.. Dan aku harap, ia akan kekal sehingga aku pulang semula ke asrama selepas ini.
Za, andai engkau masih ada, aku ingin katakan.. aku sayangkan kau.. dunia dan akhirat..















Jijah, cute as a doll
Kak ita, wit jokes slambernyer…
Becoming Faridah.
Reminds me of Arfah… cute, and yet when she explodes…